Dynamic Island telah menjadi bualan hangat kerana ramai kagum akan kebolehan Apple menjadikan takuk pada peranti lebih berguna. Ciri ini menjadi paparan mini untuk pengguna melihat aplikasi lain atau lagu yang dimainkan tanpa perlu keluar daripada aplikasi yang sedang diakses.

Terbaharu, salah satu pembangun tema untuk antaramuka Mi baru-baru ini telah mengambil inspirasi dari Dynamic Island tersebut ke dalam telefon pintar Xiaomi melalui tema MIUI. Berdasarkan demostrasi dalam sebuah video, ciri ini dilihat berfungsi dengan baik dan lancar.

Tema MIUI yang dinamakan Grumpy UI kini sedang di dalam pembikinan dan hanya menyokong bahasa Cina. Bagaimanapun, tema tersebut mungkin tidak mampu mengikuti sepenuhnya kefungsian Dynamic Island yang terdapat pada iPhone 14 Pro.

Tema MIUI ini juga hanya menyokong elemen skinning UI yang unik sahaja dan tidak membenarkan pengubahsuaian ketara pada sistem. Buat masa ini ia masih lagi dalam fasa menantikan kelulusan Xiaomi. Terdapat kemungkinan Xiaomi akan menghalang tema ini seperti mana tema seumpamanya yang telah dibuang sebelum ini.